Tuesday, September 21, 2010

TERAS AKAR JELAJAH



Nilai perpaduan dan nilai kesaksamaan bernegara adalah teras utama  dalam mewujudkan unsur kenegaraan sejak merdeka. Lumrah kehidupan, semuanya ingin mencari titik persamaan supaya setiap yang dirancang berjaya dilaksanakan. Bagi negara kita Malaysia, titik persamaan tersebut terletak kepada entiti nilai saling mempercayai , saling menghormati dan saling menyintai antara satu sama lain. Rangkuman ketiga-tiganya maka wujudlah satu Persetiaan Murni yang sering digelarkan dengan istilah Kontrak Sosial. Hasilnya, sebuah perlembagaan terbentuk dan terbinalah sebuah negara merdeka yang diberi nama Malaysia. Perlembagaan yang dibina atas kata sepakat bersama, telah membentuk Rukun Negara supaya semua kaum yang terdapat di dalam negara ini memahami usul sebenar erti perpaduan.


Maka dengan itu, untuk memastikan ketiga-tiga entiti tadi menjadi kenyataan yang berterusan Biro Latihan UMNO Pulau Pinang dan Kelab Warisan Malaysia Biro Pulau Pinang dengan kerjasama Biro Tatanegara Negeri Pulau Pinang dan Jabatan Hal Ehwal Khas Negeri Pulau Pinang akan menggerakan sebuah program yang diberi nama JELAJAH. JELAJAH  ialah satu program yang berkonsepkan bergerak dari satu kawasan ke satu kawasan yang lain dengan menggunakan basikal.Pengisian dalam bentuk berbasikal dalam JELAJAH ini adalah mengenang kembali semangat Dato’ Onn Jaafar yang masuk ke kampung-kampung di dalam memastikan rakyat ketika itu bangkit menentang Malayan Union. Ketika itu, Tanah Melayu sedang berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan daripada penjajah. Kesinambungan sejarah ini diadaptasi dengan realiti hari ini. Berbasikal telah menjadi salah satu daripada aktiviti rekreasi. Namun, sejarah membuktikan bahawa sebelum Jepun menyerang dengan menggunakan kapal terbang , basikal telah menjadi kenderaan utama untuk mereka bergerak dan menjelajah ke seluruh pelusuk tanah air.


Atas dasar itu,semua nilai  sejarah dalam perjuangan mendapatkan kemerdekaan, sewaktu mencapai kemerdekaan , mengisi kemerdekaan, terbentuknya Malaysia dan selepas 53 tahun merdeka, dijadikan landasan utama menggerakkan program JELAJAH. JELAJAH seperti pendekatan Dato’ Onn menyedarkan rakyat ketika itu, akhirnya membuahkan kejayaan permulaan dalam proses mencapai kemerdekaan.Justeru, pihak penganjur telah menjadikan senario sejarah yang berlaku di negara ini, sebagai asas kepada program JELAJAH . Mungkin sebelum ini kita pernah mendengar dan melihat sendiri program Jelajah menggunakan basikal oleh persatuan berbasikal atau rekreasi.Namun, apa yang membezakan JELAJAH dengan aktiviti berbasikal yang lain ialah pengisian di setiap tempat perhentian yang mementingkan aktiviti penyampaian maklumat, kesukarelawan dan keagamaan.Pihak penganjur berharap agar, JELAJAH dapat dibantu secara kolaborasi oleh semua pihak yang dipanggil untuk menjayakan MISI JELAJAH. Sesungguhnya kejayaan membina sebuah negara adalah berpaksikan kepada kerjasama yang erat.

KELAB WARISAN MALAYSIA (KERIS) PULAU PINANG
BIRO LATIHAN UMNO PULAU PINANG
20 SEPTEMBER 2010

No comments:

Post a Comment